Kasyaf / ilmu laduni Nabi Khidir
Assalamualaikum
wbt.. mungkin antum sekalian pernah mendengar kisah yang masyhur ini.
Ambillah teladan disebalik kisah ini nescaya antum dapat merasa bahawa
setiap manusia ada kelebihan masing-masing dan jangan sesekali merasa
kita yang lebih hebat..
Kisah Musa dan Khidir dirakamkan oleh Al-Qur'an dalam Surah Al-Kahfi ayat 65-82.
Ringkasan hikmah dari kisah tersebut:-
Setibanya
mereka di tempat yang dituju, mereka melihat seorang hamba Allah yang
berjubah putih bersih. Nabi Musa pun mengucapkan salam kepadanya. Khidir
menjawab salamnya dan bertanya: “Dari mana datangnya kesejahteraan di
bumi yang tidak mempunyai kesejahteraan?
Siapakah kamu? Jawab Musa, “Aku adalah Musa.”
Khidir bertanya lagi: “Musa dari Bani Isra’il?”
Nabi
Musa menjawab: “Ya. Aku datang menemui tuan supaya tuan dapat
mengajarkan sebahagian ilmu dan kebijaksanaan yang telah diajarkan
kepada tuan.”
Khidir menegaskan: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup bersabar bersama-samaku.” (Surah Al-Kahfi : 67)
“Wahai
Musa, sesungguhnya ilmu yang kumiliki ini ialah sebahagian daripada
ilmu kurniaan dari Allah yang diajarkan kepadaku tetapi tidak diajarkan
kepadamu wahai Musa. Kamu juga memiliki ilmu yang diajarkan kepadamu
yang tidak kuketahuinya.”
Nabi Musa berkata:
"Insya Allah Tuan akan mendapati diriku sebagai seorang yang sabar dan
aku tidak akan menentang Tuan dalam sesuatu urusan pun." (Surah Al Kahfi
: 69 )
Dia (Khidir) selanjutnya mengingatkan: "Jika
kamu mengikutiku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang
sesuatu pun sehingga aku sendiri menerangkannya kepadamu.: Surah Al
Kahfi : 70)
Perjalanan Khidir dan Musa.
Demikianlah
seterusnya Musa mengikuti Khidir dan terjadilah beberapa peristiwa yang
menguji diri Musa yang telah berjanji bahawa baginda tidak akan
bertanya sebab sesuatu tindakan diambil oleh Nabi Khidir. Setiap
tindakan Nabi Khidir A.S. itu dianggap aneh dan membuat Nabi Musa
terperanjat.
Kejadian
yang pertama adalah saat Nabi Khidir menghancurkan perahu yang
ditumpangi mereka bersama. Nabi Musa tidak kuasa untuk menahan hatinya
untuk bertanya kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir memperingatkan janji Nabi
Musa, dan akhirnya Nabi Musa meminta maaf kerana kelancangannya
mengingkari janjinya untuk tidak bertanya terhadap setiap tindakan Nabi
Khidir.
Selanjutnya
setelah mereka sampai di suatu daratan, Nabi Khidir membunuh seorang
anak yang sedang bermain dengan kawan-kawannnya. Peristiwa pembunuhan
yang dilakukan oleh Nabi Khidir tersebut membuat Nabi Musa bertindak
untuk menanyakan hal tersebut kepada Nabi Khidir. Nabi Khidir kembali
mengingatkan janji Nabi Musa, dan beliau diberi kesempatan terakhir
untuk tidak bertanya-tanya terhadap segala sesuatu yang dilakukan oleh
Nabi Khidir, jika masih bertanya lagi maka Nabi Musa harus rela atau
pergi untuk tidak mengikuti perjalanan bersama Nabi Khidir.
Selanjutnya
mereka melanjutkan perjalanan hingga sampai disuatu wilayah perumahan.
Mereka kelelahan dan hendak meminta bantuan kepada penduduk sekitar.
Namun sikap penduduk sekitar tidak bersahabat dan tidak mahu menerima
kehadiran mereka, hal ini membuat Nabi Musa berasa kesal terhadap
penduduk itu. Setelah dikecewakan oleh penduduk, Nabi Khidir malah
menyuruh Nabi Musa untuk bersama-samanya memperbaiki tembok suatu rumah
yang rosak di daerah tersebut. Nabi Musa bertindak kembali untuk
bertanya terhadap sikap Nabi Khidir ini yang menyuruh membantu
memperbaiki tembok rumah setelah penduduk menzalimi mereka. Akhirnya
Nabi Khidir menegaskan pada Nabi Musa bahawa beliau tidak dapat menerima
Nabi Musa untuk menjadi muridnya dan Nabi Musa tidak diperkenankan
untuk terus melanjutkan perjalanannya bersama dengan Nabi Khidir.
Selanjutnya Nabi Khidir menjelaskan mengapa beliau melakukan hal-hal yang membuat Nabi Musa bertanya.
-Kejadian
pertama adalah Nabi Khidir menghancurkan perahu yang mereka tumpangi
kerana perahu itu dimiliki oleh seorang yang miskin dan di daerah itu
tinggallah seorang raja yang suka merampas perahu milik rakyatnya.
-Kejadian
yang kedua, Nabi Khidir menjelaskan bahawa beliau membunuh seorang anak
kerana kedua-dua orang tuanya adalah pasangan yang beriman dan jika
anak ini menjadi dewasa dapat mendorong bapa dan ibunya menjadi orang
yang sesat dan kufur. Kematian anak ini digantikan dengan anak yang
soleh dan lebih mengasihi kedua ibu bapanya hingga ke anak cucunya.
-Kejadian
yang ketiga (terakhir), Nabi Khidir menjelaskan bahawa rumah yang
dinding diperbaiki itu adalah milik dua orang adik-beradik yatim yang
tinggal di kota tersebut. Didalam rumah tersebut tersimpan harta benda
yang ditujukan untuk mereka berdua. Ayah kedua-dua adik-beradik ini
telah meninggal dunia dan merupakan seorang yang soleh. Jika tembok
rumah tersebut runtuh, maka harta yang tersimpan tersebut akan ditemui
oleh orang-orang di kota itu yang sebahagian besar masih menyembah
berhala, sedangkan kedua adik-beradik tersebut masih cukup kecil untuk
mengelola peninggalan harta ayahnya. Dipercayai tempat tersebut berada
di negeri Antakya, Turki.
Akhirnya
Nabi Musa A.S sedar hikmah dari setiap perbuatan yang telah dikerjakan
Nabi Khidir. Akhirnya mengerti pula Nabi Musa dan berasa amat bersyukur
kerana telah dipertemukan oleh Allah dengan seorang hamba Allah yang
soleh yang dapat mengajarkan kepadanya ilmu yang tidak dapat dituntut
atau dipelajari iaitu ilmu ladunni. Ilmu ini diberikan oleh Allah SWT
kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya. Nabi Khidir yang bertindak
sebagai seorang guru banyak memberikan nasihat dan menyampaikan ilmu
seperti yang diminta oleh Nabi Musa dan Nabi Musa menerima nasihat
tersebut dengan penuh rasa gembira.
Saat
mereka didalam perahu yang ditumpangi, datanglah seekor burung lalu
hinggap di hujung perahu itu. Burung itu meneguk air dengan paruhnya,
lalu Nabi Khidir berkata: “Ilmuku dan
ilmumu tidak berbanding dengan ilmu Allah, Ilmu Allah tidak akan pernah
berkurang seperti air laut ini kerana diteguk sedikit airnya oleh burung
ini.”
Sebelum berpisah, Khidir berpesan kepada Musa:
“Jadilah
kamu seorang yang tersenyum dan bukannya orang yang tertawa.
Teruskanlah berdakwah dan janganlah berjalan tanpa tujuan. Janganlah
pula apabila kamu melakukan kekhilafan, berputus asa dengan kekhilafan
yang telah dilakukan itu. Menangislah disebabkan kekhilafan yang kamu
lakukan, wahai Ibnu `Imran.”
Hikmah kisah Khidir:
Dari
kisah Khidir ini kita dapat mengambil iktibar penting. Diantaranya
adalah Ilmu merupakan kurniaan Allah S.W.T, tidak ada seorang manusia
pun yang boleh mengaku bahawa dirinya lebih berilmu dibanding yang lain.
Hal ini kerana adalah ilmu laduni merupakan anugerah dari Allah SWT yang diberikan kepada seseorang tanpa harus mempelajarinya.
(Ilmu Ladunni, iaitu ilmu yang dikhususkan bagi hamba-hamba Allah yang soleh dan terpilih).
Hikmah
yang kedua adalah kita perlu bersabar dan tidak terburu-buru untuk
mendapatkan kebijaksanaan dari setiap peristiwa yang dialami.
Hikmah
ketiga adalah setiap murid harus memelihara adab dengan gurunya. Setiap
murid harus bersedia mendengar penjelasan seorang guru dari awal hingga
akhir, sebelum kita bertindak diluar perintah dari guru.
Kisah Nabi Khidir ini juga menunjukan bahawa Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa kepada guru/mursyid.